Wednesday, May 13, 2009

Nifas

Nifas disisi para ulama:

1)Syafi'iyyah mengatakan nifas adalah darah yang keluar diakibatkan(selepas) daripada bersalin.Manakala darah yang keluar semasa bersalin atau sebelumnya, tidak dikiras sebagai nifas, sebaliknya dikira darah fasad(penyakit) atau darah istihadhah(Mughnil muhtaj : 1/119,Hasyiah Al-Baijuri : 1/113, Al-Mu'tamad fil fiqh as-syafi'e : 1/125, Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu : 1/621)

2)Hanafiah mengatakan nifas adalah darah yang keluar diakibatkan bersalin.Pendapat ini seolah-olah sama dengan pandangan fuqaha' syafi'iyyah.Walau bagaimanapun terdapat sedikit penjelasan yang lebih mendalam(tafshil) berkenaan hal ini menurut hanafiah,iaitu seandainya darah itu keluar bersama sebahagian besar dari bayi,maka ia dikira sebagai nifas.Manakala seandainya darah itu keluar bersama sebahagian kecil dari bayi, ia dikira sebagai darah fasad.(Kitab Al-Fiqh 'ala mazahib al-'arbaah : 1/130, Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu : 1/621)

3) Malikiah berpendapat, nifas adalah darah yang keluar bersama-sama bayi semasa bersalin dan selepasnya.Manakala darah yang keluar sebelumnya dikira sebagai haidh disisi mereka. (Kitab Al-Fiqh 'ala mazahib al-'arbaah : 1/130, Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu : 1/621)

4)Hanabilah pula berpandangan, nifas adalah darah yang keluar disebabkan bersalin dan juga sebelumnya dalam tempoh dua atau tiga hari dengan disertai tanda-tanda hendak bersalin(kontraksi). (Kitab Al-Fiqh 'ala mazahib al-'arbaah : 1/130, Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu : 1/621)

Kesimpulannya,para ulama' terbahagi kepada 3 mazhab dalam menerangkan maksud nifas ini:

1) Nifas hanyalah darah yang keluar selepas daripada bersalin, iaitu fuqaha mazhab Syafi'iyyah.

2) Nifas adalah darah yang keluar bersama-sama bayi dan selepas bersalin, iaitu pendapat fuqaha malikiah dan hanafiah(secara tafshil).

3) Nifas adalah darah yang keluar sebelum dari bersalin dalam tempoh 2-3 hari sebelumnya dengan disertai tanda-tanda bersalin(kontraksi).

Memandangkan perbezaan takrifan ulama bagi nifas ini, ia akan mengakibatkan perbezaan hukum-hakam yang berkaitan dengan nifas.Seperti kewajipan bersolat bagi wanita yang bernifas.Bagi mereka yang mengambil pandangan para fuqaha hanabilah,maka mereka tidak diwajibkan bersolat seandainya kelihatan darah dalam tempoh 2-3 hari sebelum bersalin dengan syarat ia disertai tanda-tanda bersalin(kontraksi). Sementara bagi diri saya, saya memilih pandangan fuqaha Mazhab Syafi'iyyah di atas jalan berhati-hati(ihtiyat) dalam agama dengan tidak berwenang dalam meninggalkan kewajipan solat.Wallahua'lam.

No comments: