Wednesday, February 18, 2009

Family Matters

Dipetik dari blog kakak saya: http://drnurizah.wordpress.com/2009/02/18/siri-kembara-madinahmahalnya-barang-baby/

Dari kecil hinggal dewasa, mak ayah tak pernah mengajar kami adik-beradik untuk membazir. Beli apa yang perlu sahaja. Makan di gerai-gerai biasa terutama jika di gerai makanan di Ampangan sudah cukup membahagiakan. Seingat saya dulu, adalah dua atau tiga kali makan di hotel, itu pun di Hotel Sri Malaysia atau makan dinner anjuran universiti. Beli baju di Tan Brothers Seremban bukan di Jaya Jusco atau Pavillion atau yang lebih tinggi tarafnya. Beli kain ela yang murah-murah di pasar malam atau di kedai Bunga Raya di bandar Seremban sudah kira cukup bagus apalagi jika dapat membeli kain di kedai Erna Ampangan, tersangat janggal kalau beli kain di Euro Moda di Jalan Masjid India. Tetapi baju kami selalu bertukar ganti dengan pelbagai gaya yang cantik, ada baju kurung moden siap dengan selendang bersulam, ada baju gaun labuh ala-ala Cinderella dan macam-macam fesyen lagi yang mak fikirkan. Ayah dari dulu memang peminat setia kenderaan tempatan, dari Proton Saga sampai ke Naza Chitra, tidak terlintas pun untuk memakai Toyota Camry atau Honda Accord apatah lagi jenama yang lagi tinggi darjatnya. Pernah dulu, sewaktu saya masih lagi berhingus, ada saudara saya pernah berkata “Berapa ringgit mak kamu beli kain cotton ni? Nampak macam panas je, beli kain murah ya?”. Saya ketika itu yang tidak mengerti apa-apa cuma tersengih. Tetapi soalan itu masih terpasak kukuh dalam ingatan Along (kakak sulung tercinta) yang masih ingat sindiran keras yang tidak wajar dilemparkan pada kanak-kanak seperti kami. Mak ayah selalu membeli berus gigi yang tiada jenama secara pukal dan membeli serbuk pencuci kain yang tidak ternama, tidak pernah mak mengambil sabun basuh jenama Dynamo atau Persil atau yang lebih terkenal. Itulah kehidupan seharian saya dan keluarga selama berpuluh-puluh tahun.

Bukan mak atau ayah kedekut. Tetapi mereka berjimat. Berkat berjimat ini, mak ayah mampu membawa kami adik-beradik menunaikan haji sewaktu kami masih bersekolah. Berkat berjimat ini, ayah mampu membawa kami melancong ke segenap tempat di tanahair. Berkat berjimat ini juga, ayah mampu membelikan setiap adik-beradik kami kereta yang kini telah langsai pun hutangnya. Berkat berjimat ini mak ayah mampu menyekolahkan kami hingga lahir Pegawai Tadbir Diplomatik, Doktor dan Ustaz. Ayah bukan jutawan atau hartawan. Mak bukan keturunan raja atau orang kaya-kaya. Asal kami orang susah. MAK DAN AYAH LAH YANG TELAH BERJAYA MENGUBAH GENERASI KAMI. Dengan ilmu mereka berubah. Dari berjalan kaki ke berkereta. Dari pondok buruk ke rumah batu yang luas. Ayah merupakan seorang pegawai kerajaan dan emak merupakan guru. Ekonomi keluarga kami boleh dikatakan stabil tanpa bebanan hutang melampau atau isu pengangguran. Kami bahagia dengan sederhana itu. Itulah dia berkat berjimat. Namun, keadaan ekonomi mak dan ayah bertambah baik sekarang. Mak ayah tidak perlu lagi menanggung kami, biar kami pula yang membalas jasa mak ayah. Selama berpuluh tahun ini mak dan ayah telah berkorban berjimat sebegini. Mak jangan gusar lagi untuk membeli beg tangan atau kasut berjenama. Ayah jangan bimbang lagi untuk memakai pakaian yang berjenama. Kita boleh makan di tempat-tempat eksklusif tanpa rasa terbeban. Semoga rezeki mak dan ayah bertambah melimpah-ruah lagi, diberikan kesihatan yang sejahtera dan bahagia hingga ke syurga. Amin..

2 comments:

Ahmad Saifuddin Amran said...

Aku dulu pun beli baju sekolah kat tan brothers apa..hahaha

Anonymous said...

salam, oit copy paste ye..takpe2..amik la..free of charge utk adik kesayangan..hehehehe